‘Anak diejek dahi jendul, saya jumpa ibu bapa pembuli’  

Ning atau nama penuhnya Ning Baizura Sheikh Hamzah, 50, berkata, dia bertindak berjumpa dengan ibu bapa pelaku yang juga berusia 12 tahun sebelum melaporkan perkara tersebut kepada pihak sekolah.

Buli era ini sangat lain, bukan sahaja secara fizikal, bahkan siber. Dalam ‘chat group’ dia diejek macam-macam. Dahi dikata jendul, kutuk ahli keluarga dan saya tengok bahasa budak zaman sekarang menakutkan.

“Ada benda yang mereka kata dalam itu menjadi kebiasaan, bermaksud menggunakan perkataan yang tidak baik.

“Jadi sebagai ibu saya berjumpa dengan orang tua kanak-kanak itu beserta tangkap layar mesej sebagai bukti. Kalau pergi terus ke sekolah, mungkin mereka akan kata tiada bukti, jadi saya jumpa dengan mereka untuk selesaikan isu secara baik,” katanya selepas sidang media Kilauan Emas musim lapan (KE8), semalam.

Ditanya apa yang membuatkannya Ning menyedari anak tunggalnya itu dibuli, ujarnya terdapat perubahan pada tingkah laku apabila Ryan enggan memotong rambut kerana khuatir bahagian dahinya terdedah.

“Dapat tahu sebab nampak perubahan pada sikap dan perwatakan dia, tiba-tiba dia macam tak nak potong rambut sebab dia mahu tutup bahagian dahi.

Saya cakap dengan suami ada sesuatu tak kena sebab Ryan yang ceria berubah sikap. Saya pujuk agar cerita. Kemudian baru dia beritahu ada budak buli dia, ejek dahinya jendul.

“Tapi Ryan juga ada cuba selesaikan isu tersebut dengan matang selepas kami bincangkan solusi. Dua, tiga hari selepas itu dia kata semuanya sudah selesai. Budak itu pun ada minta maaf,” ujarnya.

Pada masa sama, penyanyi lagu Awan Yang Terpilu itu turut menekankan kepentingan komunikasi antara ibu bapa dengan-anak dalam menangani isu buli.

“Komunikasi sangat penting, malah kita sebagai ibu bapa kena beri ruang untuk mereka bercakap dan membuat keputusan sendiri.

Saya percaya, sebagai orang tua kita juga bertanggungjawab untuk memantau apa yang anak-anak kita lihat dan tulis di telefon,” katanya.

Ning turut menyarankan agar semua sekolah termasuk sekolah rendah, menengah dan antarabangsa memperkenalkan sesi kesihatan minda sebagai langkah pencegahan awal terhadap masalah buli.

“Budaya buli zaman sekarang sangat berbeza dari zaman dahulu selain meninggalkan kesan emosi yang mendalam.

Saya harap sekolah ambil serius selain sediakan platform atau adakan sesi untuk anak-anak meluahkan perasaan mereka ,” ujarnya.

Mengenai program Kilauan Emas 2025, Ning dilantik menjadi juri bersama primadona Filem Melayu Alaf Baharu, Erra Fazira dan pelawak Roy Azman.

Seramai 12 peserta bertanding bagi program itu yang bakal menemui penonton pada setiap Sabtu di saluran 105 (Astro Prima) bermula 16 Ogos ini.

Program itu dikendalikan personaliti popular Elly Mazlein selaku hos utama bersama Joey Daud sebagai pengacara belakang pentas dan hos Diari Kilauan Emas.

Terdahulu, Ning mendirikan rumah tangga dengan Omar Shariff Christopher Layton Dalton pada Januari 2008. – HIBGLAM