Hadie atau nama sebenarnya Ehmad Hadie Elfardie Mohd. Suhaimi Saad, 17, berkata, meskipun tidak menuntut di sekolah secara formal, minat terhadap dunia nyanyian membuatkannya mahu membuktikan dirinya juga mampu bersaing di pentas hiburan.
“Memang betul, saya mahu sambung legasi ayah. Itu antara hasrat terakhirnya kepada kami. Dia mahu anak-anaknya menyambung perjuangan seni.
“Selain mahu membanggakan ibu, saya nekad memulakan semula karier nyanyian yang pernah ayah tinggalkan.
“Harapan saya cuma satu, mengharumkan nama kedua orang tua, walaupun saya bukanlah bersekolah normal seperti orang lain,” katanya kepada HibGlam
Tambah anak sulung kepada empat beradik itu, program Talk To My Manager menjadi ruang terbaik baginya memulakan langkah sebagai penyanyi profesional.
“Arwah ayah pesan supaya seni tidak lari daripada dakwah. Dalam nyanyian pun boleh diselitkan mesej kebaikan.
“Bagi saya, platform ini bukan sekadar hiburan, tetapi permulaan untuk membina kerjaya, malah mengembangkan perancangan bisnes pada masa depan,” ujarnya pada sidang media tersebut di sini, semalam.
Sementara itu, menyokong penuh hala tuju anaknya, Ina Naim menganggap peluang tersebut sebagai anugerah daripada Allah selepas suaminya dahulu terpaksa menolak tawaran seumpama ini.
“Dulu, masa arwah ayahnya masih ada, pernah juga dapat tawaran program seperti ini di Astro. Tapi sebab sakit dan jarak yang jauh, dia tolak.
“Kali ini Allah beri peluang pada anak pula. Kalau tidak dapat harumkan nama ibu, harumkanlah nama ayah. Dalam setiap persembahan, ingatkan arwah ayah. Buat yang terbaik,” pesannya.
Untuk rekod, program Talk To My Manager menampilkan pasangan pengurus dan artis yang terdiri daripada ibu bapa selebriti bersama anak mereka.
Anak-anak menjadi tumpuan sebagai penghibur, manakala ibu bapa bertindak sebagai pengurus kreatif setiap persembahan.
Antara pasangan peserta musim ini termasuk Siti Saerah & Amad, Ameng & Ammar, Aziz M. Osman & Ara Aziz, Sharifah Shahirah & Auddra, Shuib & Thalita, Sharifah Zarina & Athalia, Ina Naim & Hadie serta Liza Hanim & Marsya yang akan berentap bermula 24 Ogos nanti. – HIBGLAM.