‘Susah percaya orang, tak tahu nak mengadu kepada siapa’

Dedah Salamiah, 74, hubungan itu dirahsiakan bukan sahaja kepada khalayak, bahkan turut disembunyikan daripada pengetahuan anak-anak dan keluarga terdekat.

Lama saya simpan rahsia ini. Anak-anak sendiri pun tak tahu. Bila saya betul-betul pasti dengan perasaan saya, baru beritahu mereka. Semuanya terkejut.

“Antara soalan pertama yang saya dapat daripada anak lelaki saya ialah, ‘Apa bukti mama kenal dia?’,” katanya dalam satu sesi refleksi kendiri bersama pakar pembangunan diri, Dr. Hisham Dzakiria.

Tambah pelantun lagu Gelombang itu, lelaki terbabit yang dinikahinya selepas itu sering menitipkan kata-kata semangat dan menjadi pendorong utama untuk dirinya terus bangkit selepas melalui pelbagai kejatuhan dalam hidup.

Dia turut berkongsi tentang pencarian makna bahagia sebenar, termasuk kesanggupannya melepaskan banyak harta demi ketenangan jiwa.

Dia selalu pesan, ‘Jadi apa yang you nak jadi dalam hidup’. Kata-kata itu masih melekat dalam hati saya sampai hari ini. Itu yang buat saya nak jadi lebih baik.

“Dulu saya suka beli baju. Sekarang saya bagi kepada orang. Yang tak ada lengan saya beri kepada mereka bukan Islam, yang berlengan saya beri anak-anak saudara. Saya rasa ringan bila saya lepaskan,” ujarnya.

Ibu kepada penyanyi Atilia itu kini lebih memilih ketenangan dalaman berbanding perhatian luaran, selain lebih berhati-hati dalam berkongsi kisah peribadi dengan orang lain.

Malah katanya, setiap kali menunaikan solat, pasti air matanya gugur mengenang arwah suami yang pergi menghadap Ilahi pada hari Jumaat.

“Saya susah nak percaya orang. Bila kawan cerita masalah, saya simpan. Tapi bila saya ada masalah, saya tak tahu nak cerita kepada siapa.

“Tapi saya belajar satu perkara, menangis itu bukan tanda lemah. Menangis itu tanda kita sedang sembuh.

Saya nak sihat, saya nak tenang, saya nak gembira. Kalau orang cakap buruk pasal saya pun, saya tetap senyum. Sebab itu pahala saya,” noktahnya.

Untuk rekod, Salamiah mendirikan rumah tangga dengan lelaki luar negara bernama Gerry itu pada 1 September 2022 di sebuah majlis yang diraikan sederhana di Tasmania, Australia. –  HIBGLAM