‘Superman pejuang Palestin? jangan biar emosi ditunggang kapitalis kreatif’

Remy atau nama sebenarnya, Mohammad Zalimei Ishak berkata, penonton usah mudah tertipu dengan progaganda Hollywood kononnya apa yang dipaparkan di layar perak sebagai tanda solidariti terhadap penderitaan Palestin.

“Bila penderitaan manusia jadi tema marketing… Kita patut tanya, ini seni atau sekadar strategi?

Filem boleh jadi kuat, tapi jangan biar emosi ditunggang oleh kapitalis kreatif. Tiba-tiba Superman jadi pejuang Palestin?

“Tolonglah jangan tertipu dengan propaganda versi Hollywood, semua tu dibungkus cantik supaya kau beli tiket, bukan sebab mereka peduli nyawa orang,” katanya.

Bagaimanapun, pelakon filem Keluang Man itu percaya, pilihan adalah hak masing-masing untuk menyokong atau menonton filem terbabit di panggung wayang berdekatan.

“Jangan risau, saya tak marah pun. Hak kalian (untuk sokong) dan saya hormati pandangan masing-masing. Saya cuma berkongsi pandangan peribadi.

Secara peribadi, saya berasakan syarikat-syarikat perfileman besar ini menggunakan isu semasa lebih untuk agenda pemasaran berbanding solidariti yang jujur.

“Tapi kalau anda rasa mesej sampai dan filem (Superman) memberi keseronokan, itu juga tak mengapa. Kita tak perlu bersetuju dalam semua perkara, bukan?, coretnya lagi menerusi Threads.

Terdahulu, ramai penonton seluruh dunia memuji filem Superman arahan James Gunn yang dengan beraninya menyuntik mesej tersirat menerusi peperangan antara dua wilayah fiksyen iaitu Boravia dan Jarhanpur.

Superman kini merupakan filem nombor satu dunia dengan kutipan pembukaan global antara tertinggi untuk tahun 2025 iaitu AS$217 (RM1.1 bilion). – HIBGLAM