Sumbang makanan kepada 10,000 rakyat Palestin setiap hari

Siti Nurhaliza yang merupakan pengasasnya, menjelaskan sumbangan makanan itu diberikan kepada rakyat Palestin sebanyak dua kali sehari iaitu pada waktu siang dan malam.

“Alhamdulillah, sejak Palestin bergolak sehingga kini kami dapat terus menyalurkan sumbangan kepada saudara kita di sana terutamanya dalam menyalurkan makanan kepada mereka setiap hari.

“Meskipun masih dalam bentuk bijirin dan kekacang, makanan disalurkan secara berterusan dua kali sehari menerusi wakil kami di sana,” katanya pada Majlis Penyerahan Sumbangan Bersama Yayasan Nurjiwa X Inayah Beauty sebentar tadi.

Dalam pada itu, Siti Nurhaliza meluahkan rasa syukur kerana yayasan naungannya menjadi platform yang dipercayai untuk orang ramai menyalurkan sumbangan terutama untuk saudara di Palestin.

Beliau berkata, setiap sumbangan yang diterima serta aktiviti kebajikan yang dilakukan dikongsikan kepada umum.

“Yayasan memang akan kongsikan setiap aktiviti yang kami lakukan kepada orang ramai tidak hanya di Palestin. Kami juga membantu mana-mana pihak yang memerlukan terutama dalam negara.

“Sebagai contoh, sumbangan makanan turut kami berikan kepada pelajar-pelajar golongan B40 di universiti terpilih pada setiap Jumaat,” katanya.

Dalam pada itu, Yayasan Nurjiwa bekerjasama dengan jenama Inayah Beauty bagi membaik pulih masjid di Palestin dengan kos RM300,000 Ramadan lalu.

“Projek membaik pulih masjid ini telah dilaksanakan oleh wakil Yayasan Nurjiwa yang menetap di kawasan tersebut.

“Yayasan Nurjiwa sebelum ini turut menubuhkan sebuah sekolah kanak-kanak di Gaza, Afwa Al-Afiyah, sebagai sebahagian daripada misi pendidikan dan perlindungan jangka panjang.

“Saya bersyukur sekolah tersebut berada dalam keadaan selamat dan kerana itu saya rasa seperti ada ikatan untuk meneruskan bantuan ke Gaza. Doakan semuanya dipermudahkan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Inayah Beauty, Dini Latifi berkata, majlis penyerahan ini bukan sekadar simbolik, malah membawa mesej penting buat rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama untuk terus mengingati dan membantu mereka yang sedang diuji di bumi bergolak.

“Palestin menjadi fokus tahunan buat Inayah Beauty bukan sahaja kerana ikatan solidariti global, tetapi kerana krisis kemanusiaan di sana antara yang paling kritikal dan berpanjangan,” katanya.

Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran duta-duta rasmi Inayah Beauty iaitu Fasha Sandha, Bella Astillah, Elisya Sandha, Watie Hanifiah, Intan Ladyana, Intan Najuwa dan Syed Saddiq. – HIBGLAM