‘Suara tak sedap, saya tetap nak berselawat’

Sedar dirinya bukan seorang penyanyi atau memiliki suara sedap, Zarina, 54, berkata, dia yakin selawat tersebut mampu memberi ketenangan hati sesiapa sahaja yang mendengar.

“Selawat Tafrijiyah, suara saya tak sedap.

“Namun, saya tetap nak berselawat sebab percaya ini menenangkan hati kita, percayalah,” katanya.

Bukan satu tetapi Zarina sekali lagi berkongsi video dia mendendangkan lagu nasyid Iktiraf yang sebelum ini pernah dipopularkan kumpulan Raihan dan penyanyi lain.

Katanya, dia tidak pernah berniat membuat album sebaliknya hanya berkongsi minatnya terhadap selawat.

“Lepas kongsi video ini, ada pula orang meninggal. Saya bukan penyanyi dan tiada niat pun untuk buat album.

Semoga kita sama-sama mendapat kebaikan walaupun telinga kalian naik bengkak dan tumbuh bisul selepas mendengar suara saya yang tak sedap ini,” ujarnya.

Sementara itu dalam ruangan komen kedua-dua video, rata-rata netizen mengakui terhibur tetapi pada masa sama berterima kasih kepada Zarina kerana tanpa sedar membuatkan mereka turut sama mengalunkan zikir.

Bagaimanapun, tidak kurang juga mengecam dan berharap Zarina tidak lagi berkongsi video sebegitu kerana membuatkan mereka berasa berdosa.

“Selalu dengar selawat rasa tenang tapi kali ini geli hati sampai keras perut tahan gelak.

Sesungguhnya saya rasa sangat berdosa tapi ingin ke syurga. Maafkan saya kak sebab tergelak.

“Saya terpaksa menggigit bibir sambil baca komen.

“Sayu sangat kak, Ya Allah angkatlah doa kak Zarina untuk terus menjadi pelakon sahaja,” komen netizen.

Sehingga kini, video pertamanya sudah mencecah lebih 890,000 tontonan sejak dimuat naik dua hari lalu. – HIBGLAM