Dewan Filharmonik Petronas (DFP) menjadi saksi persembahan cemerlang vokalis handal yang disambut gema suara peminat mereka sebaik satu persatu sang penyanyi membuka langkah menguasai pentas.
Berlandaskan alunan muzik tradisional bersulam megah orkestra Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO), malam itu menjadi bukti betapa warisan seni Melayu masih bernyawa dan terus menyinar, biarpun arus moden semakin menggila.
Malam junjung budaya
Tepat pukul 8 malam, pentas keramat itu terlebih dahulu dibuka dengan Overture: Burung Pungguk, satu karya melankolik yang bukan sahaja mempersiapkan telinga, malah jiwa untuk menyelami keindahan tradisi.
Datuk Andre Goh tampil membuka gelanggang menyanyikan Dikirim Jangan Dipesan Jangan. Suaranya tidak dimakan usia, malah bergetar, penuh rasa dan makna sekali gus membuatkan persembahannya menyentuh terus ke jantung budaya.
Disusuli dengan duet bersama penyanyi, Zehra Zambri menerusi Suka Sama Suka, pentas mula beralih warna. Kemerduan suara mereka nyaris membuat penonton yang patuh dengan mood gelanggang budaya itu ingin berteriak menyanyi bersama.
Zehra kemudian bersendirian melantunkan Tudung Periuk, mendayu, berseni dan penuh kelembutan, membuatkan penonton hampir tenggelam dalam nyanyian syahdunya.
Belum sempat menarik nafas panjang, momentum konsert dideraskan lagi dengan persembahan penyanyi Hazra Dollah yang melantunkan alunan merdu menerusi Anggerik Desa.
Suasana kemudian terus digamatkan dengan persembahan bersama Rojer Kajol menerusi dendangan Makan Sirih dan Joget Wan Lebor.
Kehadirannya menyimbah energi luar biasa. Gaya bersahaja, penuh gurau senda, tetapi tetap menjaga mutu persembahan menjadikan Rojer sebagai ‘penghidup pentas’ malam berkenaan.
Bayangkan, penonton yang awalnya sopan duduk di kerusi menjadi tidak keruan dan bangun untuk membuka langkah menari bersama iringan lagu dendangan Rojer
Hiburan tanpa henti, konsert disambung pula dengan kemunculan penyanyi muda Daniel Chuer menyanyikan Nirmala nyanyian asal Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Kendati penyampaiannya tidaklah secemerlang penyanyi asal, namun rendisi Daniel boleh disifatkan dalam kategori sedap didengar.
Intermission
Malam diteruskan dengan medley Simfoni Budaya dengan lagu Wak Daeng dan Zapin Yaladan.
Di sinilah kekuatan sebenar konsert, susunan muzik orkestra gubahan Luqman Aziz, Ilham Subri, Azhad Sulaiman, Teuku Umar dan Shahakam Mokhtar dipimpin konduktor Ahmad Muriz Che Rose tidak hanya mendakap karya-karya tradisional tetapi mengangkatnya ke langit prestij.
Setiap pergerakan baton seolah-olah mengatur detak jantung penonton. Tidak ada satu pun bahagian muzik terasa dibiarkan kosong. Semuanya penuh, padat dan emosional.
Pentas sekali lagi disajikan runut dan susunan persembahan lagu Mas Merah nyanyian Andre Goh serta alunan Semalakama oleh Zehra Zambri yang tidak hanya menggamit nostalgia, tetapi memaknakan kembali cinta terhadap seni halus Melayu.
Kehangatan konsert diteruskan dengan tenaga maksima menerusi penampilan sekali lagi Daniel Chuer dengan Fatwa Pujangga yang disampaikan penuh rasa, walau sesekali kelihatan gugup menundukkan tempo dan irama asli.
Kemunculan semula Rojer Kajol menyanyikan lagu Mak Inang Kayangan diikuti Hazra Dollah dengan Simfoni Bunga Tanjung menambahkan lagi adrenalin konsert.
Persembahan diteruskan dengan duet mereka berdua menerusi lagu Joget Burung Merpati.
Malam junjungan budaya tersebut ditutup dengan himpunan semua penyanyi membawakan Laksamana Raja di Laut sebuah lagu keramat yang berdesir kuat semangat Melayu dan jiwa Nusantara.
Konsert Simfoni Budaya II bukan sekadar hiburan malam minggu sebaliknya satu pernyataan artistik yang berani, mengajak penonton kembali menyentuh akar, menyelusuri sejarah dan mengangkat seni sebagai alat penyatuan bangsa.
Gabungan garapan muzik, susunan naratif dan pemilihan vokalis berkaliber menjadikan konsert ini sempurna dari semua segi. Keseimbangan antara suara legenda dan tenaga muda pula membentuk kesinambungan budaya yang sihat dan membara.