Demikian pengakuan penyanyi Hafiz Suip yang mengakui emosi melampau serta amarah tidak terkawal menjadi titik hitam dalam kehidupannya.
Hafiz atau nama sebenarnya Mohd Hafiz Mohd Suip, 35, berkata, dia terlalu mengikut rasa hati hingga banyak keputusan penting tersasar dari landasan.
“Amarah bukan salah satu cara untuk kau menyelesaikan masalah.
Kau kena belajar kawal marah. Semua orang ada rasa tu, tapi kalau tak dikawal, habis semua jadi musnah,” katanya menerusi hantaran dalam Instagram.
Mengulas lanjut, pelantun lagu Bahagiamu Deritaku itu menegaskan sifat marah itu datang dari Tuhan, namun terpulang kepada manusia untuk menguruskan dengan waras dan bijaksana.
“Aku belajar daripada silap sendiri. Kita semua ada sifat amarah itu, Allah bagi kita.
Tapi aku ambil benda tu sebagai satu pembelajaran dan pengalaman dalam kehidupan aku.
“Kalau benda tu baik, aku teruskan. Kalau tidak, aku buang dari hidup aku,” luahnya.
Menyentuh perihal anak-anak pula, pemenang Anugerah Juara Lagu ke-26 (AJL26) itu tidak dapat memyembunyikan rasa rindu yang membalut jiwa, lebih-lebih lagi selepas berpindah ke Kuching, Sarawak.
“Soal anak, setiap hari aku rindu. Rasa nak call, nak dengar suara.
“Boleh je call, tapi mereka sibuk dengan sekolah, jadual penuh. Aku pula duduk jauh.
Sekarang ni, dapat panggilan video sahaja. Tanya khabar, tengok muka. Mak dia yang selalu update keadaan dia orang. Aku cuma mampu doa yang terbaik,” katanya.
Paling penting kata Hafiz, dia percaya anak-anaknya itu akan membesar dan faham sendiri semua yang berlaku.
“Ibu lebih layak jaga mereka.
Aku doa je setiap hari supaya anak-anak membesar dengan sihat dan faham maksud kehidupan nanti,” jelasnya.
Terdahulu, bapa kepada dua anak itu mengesahkan hubungan rumah tangganya bersama Nureffy tidak dapat diselamatkan lagi menerusi satu temu bual.
Sejak itu, kehidupannya ibarat terumbang-ambing dan seakan hilang arah.
Untuk rekod, Hafiz dan Nureffy mendirikan rumah tangga pada 14 Mei 2016.
Hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad Riyadh Zafri, 8, dan Muhammad Alkaf Zayna, 5. – HIBGLAM