Demikian antara perkongsian menyayat hati penyanyi berbakat besar, Hafiz Suip sehingga mengalirkan air mata mengenang takdir hidup.
Menerusi hantaran terbaharu dalam Instagram (IG), Hafiz atau nama sebenarnya, Mohamad Hafiz Mohamad Suip, 35, bagaimanapun bersyukur dengan ketentuan Ilahi meskipun berdepan dengan pelbagai dugaan dan tohmahan khalayak.
“Saya bersyukur saja dengan pemberian-Nya (Tuhan), saya bahagia dengan kehidupan begini dan cuba berdamai.
“Tidak mahu terus mencari salah sebab perkara itu akan buat saya kusut.
Bila bersyukur, menerima dan reda saya akan jumpa kebahagiaan,” ujarnya dalam sepotong video IG.
Pada masa sama, pelantun lagu Ku Akui itu turut meluahkan kekecewaannya apabila sering disalah anggap orang sekeliling.
Bagaimanapun, dia masih bersyukur apabila masih ada yang mengambil berat tentang keadaan dirinya.
“Banyak kalau nak cerita satu-satu tanggapan orang memang sedih. Benda paling sedih apabila orang anggap kita jahat di mata mereka.
“Mulut orang kita tak boleh tutup, apa yang kita buat hanya teruskan kehidupan, tahu nawaitu (niat) kita. Lambat-laun orang akan faham.
“Macam saya, banyak tohmahan dilemparkan tapi kita bersyukur sebenarnya ada orang prihatin dan tegur dari tiada. Itu lagi sakit sebenarnya,” tuturnya.
Sebelum ini, pemenang Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu (AJL) empat kali itu tu mengesahkan rumah tangganya bersama Nureffy tidak dapat diselamatkan lagi menerusi temu bual bersama program hiburan Melodi.
Untuk rekod, Hafiz dan Nureffy mendirikan rumah tangga pada 14 Mei 2016.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad Riyadh Zafri, 8, dan Muhammad Alkaf Zayna, 5. – HIBGLAM