‘Pernah depresi, Anita minta telan semua kritikan, perbaiki diri’

Noor Kumalasari atau nama sebenarnya Noor Kumalasari Mohamed Taib, 69, berkata insiden pahit itu berlaku ketika dia menjayakan persembahan di sebuah stadium di Kuala Lumpur sekitar 1970-an apabila didakwa cuba meniru Anita Sarawak.

“Saya dikritik teruk dan dikatakan tak boleh menyanyi. Suara saya juga dikatakan sama macam Anita dan hendak tiru kakak  sehingga mengalami kemurungan.

Ketika berada di Singapura, saya hubungi Anita untuk mengadu. Dia nasihatkan saya, kalau hendak jadi orang seni, kena telan semua kritikan terutama sekali penyanyi.

“Anita suruh saya ambil segala kritikan itu sebagai cabaran untuk memperbaiki diri,” katanya dalam sesi audio siar Tanah Berdaulat TV kendalian Syahril A. Kadir.

Tambah Noor Kumalasari, keakraban dengan kakaknya itu sejak kecil juga memberi impak besar terhadap emosinya sebaik dimaklumkan Anita meninggalkan Kuala Lumpur secara tiba-tiba tanpa sebarang pesan pada 2011.

“Memang saya terkejut dan tergamam. Dia balik ke Amerika Syarikat (AS) pun secara tiba-tiba. Sangat mendadak. Saya pun dimaklumkan khabar itu oleh seorang kakak lagi.

Sepanjang dia berada di sana kami jarang berhubung, tapi dia banyak berkomunikasi dengan kakak kami. Mungkin sebab dia tahu saya rapat dengan paparazi (wartawan).

“Kali terakhir kami bercakap ketika raya tahun lalu sebab setiap kali 1 Syawal dia akan hubungi kakak saya. Ikutkan betul-betul saya dapat berbual lama dengannya adalah Aidilfitri dua tahun lalu,” ujarnya yang sudah 14 tahun tidak berjumpa Anita.

Pada masa sama, Noor Kumalasari mengakui terlalu rindukan kakaknya itu selain mengimbas memori manis zaman kanak-kanak mereka.

Kami berdua sangat rapat sejak kecil, suka melaram (melawa). Kami pakai alat solek ibu, gayakan beg tangan malah kami main kasut tumit tinggi ibu. Kami kunci pintu, yang lain tak tau. Kiranya kami berdua punya minat sama, sukakan benda cantik.

“Kemudian ketika besar Anita yang masuk dulu dalam bidang seni dan baru saya ikut. Jadi tipu kalau saya tidak rindukan dia. Kali terakhir jumpa berdepan ketika dia menziarahi arwah ibu saya.

“Alangkan Dharma Harun Al Rashid (gandingan dalam filem Adik Manja) pun saya hendak jumpa, apatah lagi kakak sendiri yang rapat sejak kecil,” katanya dengan air mata bergenang.

Menurutnya lagi, kini kakaknya menjalani hidup bahagia dan tenang bersama suami, Mahathir dan anak tirinya selepas nekad meninggalkan dunia seni.

“Anita sudah tidak mahukan popular atau hidup glamour, dia sudah tinggalkan dunia seni, enggan lagi masuk industri hiburan.

Dia mahu menjalani kehidupan sebagai seorang isteri yang biasa dan seperti orang lain.

“Semoga Allah rahmati Anita dan Mahathir, tetapkan iman dan beroleh ukhrawi yang diredai Allah. Jaga diri dan Noor sayangkan Anita selagi hayat dikandung badan,” katanya.

Bagi mengubati kerinduan, dia akan menyediakan juadah kegemaran kakaknya yang juga menggunakan resipi asal insan kesayangannya itu, ayam adobo.

Terdahulu, kepulangan anak seniwati Allahyarham Siput Sarawak itu ke AS sejak lebih sedekad lalu turut dirindui peminat apabila Anita mengambil langkah menyepikan diri selain enggan dijejaki peminat. – HIBGLAM