Penyanyi legenda ‘Pretty Little Baby’ meninggal dunia

Berita mendukacitakan itu disahkan sahabatnya yang juga Presiden syarikat rakaman Concetta Records, Ron Roberts, menerusi satu hantaran Facebook awal pagi Khamis (waktu Los Angeles).

Dengan hati yang amat berat dan kesedihan yang mendalam, saya ingin memaklumkan tentang pemergian sahabat tersayang saya, Connie Francis, malam tadi,” tulisnya.

Francis baru-baru ini  menerima rawatan untuk kesakitan pelvis yang disebabkan oleh patah tulang.

Ketika menerima rawatan di hospital, mendiang didiagnos jangkitan kuman dalam paru-paru atau pneumonia.

Berita kematian penyanyi itu dimaklumkan hanya dua minggu selepas dia dimasukkan ke hospital akibat kesakitan yang dikatakan amat serius.

Dalam satu hantaran sempena Hari Kemerdekaan Amerika Syarikat pada 4 Julai lalu, Francis memaklumkan bahawa keadaannya semakin baik selepas mendapat rehat secukupnya.

Namun, dua hari sebelumnya, dia sudah pun dimasukkan semula ke hospital dan memaklumkan kepada peminat bahawa dirinya sedang menjalani beberapa siri pemeriksaan untuk mengenal pasti punca sebenar kesakitan dialami.

Nama Francis kembali disebut generasi baharu apabila lagu Pretty Little Baby yang dirakam pada tahun 1962 kembali tular menerusi aplikasi TikTok, 63 tahun selepas diterbitkan.

Selain Pretty Little Baby, Francis juga dikenali menerusi untaian hit seperti Stupid Cupid dan Who’s Sorry Now. –  HIBGLAM