‘Penyanyi bukan barang, boleh pegang sesuka hati’

Pada masa sama, Raisa atau Raisa Andriana, 35, bersyukur kerana tidak pernah berhadapan situasi pahit sebegitu sepanjang karier seninya.

“Alhamdulillah, tidak pernah. Situasi seperti itu memang susah sebab ramai. Sampai sekarang saya tak pernah alami kejadian begitu dan mengharapkan tak akan pernah berlaku.

Saya sangat bersimpati dengan dia (Nadin). Ini isu serius, orang yang buat persembahan itu bukan barang yang boleh dipegang sesuka hati tanpa persetujuan.

“Saya harap orang menghormatinya,” katanya kepada HibGlam pada majlis pelancaran album terbaharunya berjudul Ambivert di Sunway Putra Hotel, semalam.

Selain itu, pelantun lagu Usai Di Sini itu turut menyeru agar pihak penganjur mengambil langkah lebih proaktif dalam memastikan aspek keselamatan dipertingkatkan.

Dari sisi kawalan keselamatan harus ada jaminan buat kedua-dua pihak iaitu audiens dan juga penyanyi.

“Sebelum ‘meet and greet’ atau acara dimulakan kita akan ada sesi taklimat untuk menjelaskan situasi yang akan terjadi,” tuturnya.

Malah, dia turut menasihati penonton agar lebih berwaspada dan menjaga kelakuan agar tidak mencetuskan suasana kurang selesa semasa acara berlangsung.

Bukan hanya penyanyi, penonton juga harus berjaga-jaga kerana mungkin berisiko berdepan dengan situasi sama.

“Mudah-mudahan jadi pengajaran buat semua supaya selepas ini lebih selamat semasa berada di acara hiburan,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, Nadin meluahkan rasa kecewa apabila dirinya menjadi mangsa gangguan seksual peminat semasa mengadakan persembahan di negara kelahirannya.

Kejadian tersebut baginya sangat menjijikkan selain menyifatkan individu terbabit tidak layak digelar peminat. – HIBGLAM