Namun, di sebalik sorotan glamor, segelintir bintang ternama dalam dunia muzik mahupun lakonan tetap terpalit pelbagai kontroversi sehingga mengheret mereka ke tirai besi.
Daripada skandal seks dan penyalahgunaan dadah sehinggalah jenayah berat seperti rogol dan penyebaran video lucah, beberapa nama besar industri hiburan Korea dijatuhkan hukuman penjara, merosakkan reputasi mereka secara total.
Berikut HibGlam bawakan lima selebriti Korea Selatan yang pernah menjalani hukuman penjara atas pelbagai kesalahan undang-undang.
Choi Jong-hoon
BEKAS ahli kumpulan FT Island, Choi Jong-hoon dijatuhkan hubungan penjara selama lima tahun natijah jenayah seksual yang dilakukan pada November 2019.
Sama seperti Joon-young, penyanyi berusia 35 tahun itu juga terbabit dalam kesalahan menyebarkan video hubungan seks secara rahsia dan dakwaan merogol wanita dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Selepas rayuan, hukumannya dikurangkan kepada dua tahun enam bulan penjara.
Jong-hoon kemudian mengumumkan pengunduran daripada dunia hiburan.
Park Yoochun
PENYANYI Park Yoochun ditahan pihak berkuasa di Suwon atas dakwaan membeli dan menggunakan dadah jenis methamphetamine.
Awalnya penyanyi berusia 39 tahun itu menafikan semua dakwaan, tetapi kemudian mengaku bersalah. Mahkamah Daerah Suwon menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan tetapi hukuman tersebut ditangguhkan dan diganti dengan dua tahun tempoh percubaan serta denda.
Selepas positif dadah, dia dipecat serta-merta agensinya C-Jes Entertainment, sekali gus menandai era bersara daripada dunia hiburan.
Moon Tae-il
PADA Jun 2024, penyanyi Moon Tae-il dan dua rakannya yang tidak dikenali merogol seorang pelancong wanita China secara bergilir-gilir selepas mereka bertemu di sebuah bar dalam keadaan mangsa tidak sedarkan diri.
Selepas tiga bulan, pihak agensinya iaitu SM Entertainment mengumumkan pemecatan Tae-il daripada kumpulannya, NCT.
Mahkamah Daerah Pusat Seoul menjatuh hukuman tiga tahun enam bulan penjara serta wajib menjalani program edukasi keganasan seksual selama 40 jam dan larangan bekerja dengan kanak-kanak selama lima tahun.
Jung Joon-young
PADA 2019, idola K-pop Jung Joon-young dijatuhkan hukuman penjara akibat menyebarkan video lucah.
Difahamkan, video tersebut dirakam secara rahsia ketika dia melakukan hubungan seksual dengan beberapa wanita.
Tidak lama kemudian, penyanyi berusia 36 tahun itu membuat pengakuan penuh kepada media dan menarik diri daripada industri hiburan.
Dia juga ditahan pihak berkuasa selepas siasatan menunjukkan sekurang-kurangnya 10 video dirakam dan diedarkan sejak tahun 2015.
Selain penyebaran video lucah, Joon-young juga didakwa merogol wanita secara berkumpulan dalam keadaan mangsa tidak sedarkan diri (mabuk).
Selepas menjalani hukuman penjara selama lima tahun, dia dibebaskan namun tidak dapat dipastikan sama ada dia akan kembali aktif atau tidak.
Yoo Ah-in
KES penyalahgunaan dadah pelakon Yoo Ah-in menjadi satu daripada skandal terbesar industri hiburan Korea Selatan.
Sekitar 2021 dan 2022, pemilik nama asal Uhm Hong-sik itu juga membeli lebih 1,100 pil tidur menggunakan identiti orang lain.
Pada Januari 2023, dia dipercayai menghisap rokok ganja ketika berada di Amerika Syarikat dan menggalakkan rakan YouTuber turut serta. Setahun kemudian, Mahkamah Daerah Pusat Seoul mendapati pelakon berusia 38 tahun itu bersalah atas penyalahgunaan dadah dan dihukum penjara selama setahun.
Ah-in kini bebas, namun namanya dibuang daripada drama Hellbound musim kedua.