Diana atau nama penuhnya Diana Danielle Danny Beeson, 34, berkata, perkara tersebut dilakukannya kerana mereka baru sahaja bercerai selain masih dalam fasa menyesuaikan diri dengan kehidupan baharunya.
“Saya pilih untuk menjaga jarak dari segi komunikasi, sebab seperti yang kita tahu, ini satu perkara (perceraian) yang sangat baru dan masih segar.
Jadi saya perlukan masa untuk sesuaikan diri dengan keadaan baharu ini, tapi siapa tahu mungkin satu hari nanti kami akan berkomunikasi semula.
“Namun buat masa sekarang, biarlah semuanya tenang dulu. Saya pun masih mencari rentak dengan fasa baharu ini,” katanya yang ditemui pada sidang media Anugerah MeleTOP Era, semalam.
Tambahnya, tidak menjadi masalah sekiranya tiada sebarang komunikasi antara mereka kerana Farid boleh berhubung terus dengan anak-anak.
Diana juga menegaskan dia tidak pernah mempunyai niat untuk menjauhkan anak-anak dengan Farid bahkan boleh bertemu bila-bila masa sahaja.
“Fokus utama sekarang adalah anak-anak. Bagi saya lebih baik dia berhubung terus dengan mereka supaya tak timbul unsur seperti hendak pengaruhi anak-anak atau sebagainya.
Apa-apa perkara yang dirasakan sesuai, contohnya kalau dia ada perancangan mahu melakukan sesuatu dengan anak-anak, dia boleh terus bertanya kepada mereka.
“Saya cuma ambil berat mengenai jadual sekolah dan cuba ingatkan mereka mengenai rutin harian contohnya kalau ada tuisyen atau sekolah,” katanya lagi.
Ditanya mengenai kenyataannya dalam satu temu bual audio siar baru-baru ini sehingga netizen menuduh masih belum ‘move-on’, Diana berkata, semua yang dikongsikan adalah sebahagian daripada cerita hidupnya.
“Temu bual itu adalah mengenai perjalanan hidup saya. Sudah tentu bila bercerita mengenai kehidupan, akan muncul beberapa nama yang pernah wujud dalam fasa tertentu bukan hanya dia (bekas suami), malah individu lain juga.
Saya pun tidak menjangka akan menjadi emosional ketika rakaman, tetapi keadaan itu berlaku secara spontan.
“Namun tak bermaksud saya mahu kembali kepada masa lalu atau membuka semula luka lama. Jauh sekali,” ujarnya.
Dia bagaimanapun memohon maaf sekiranya perkongsian tersebut menyebabkan mana-mana pihak, khususnya Farid yang turut terpalit untuk menjelaskan keadaan.
“Saya cuba sedaya upaya untuk tidak timbulkan apa-apa yang boleh mengundang rasa tak baik.
Kalau ada sebarang ketidakselesaan dari pihak dia, saya minta maaf. Itu bukan niat saya,” jelasnya.
Diana dan Farid mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 serta dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad dan Nur Aurora.
Pasangan itu pernah bercerai kali pertama secara Google Meet pada 10 Ogos 2023, kemudian kembali rujuk, namun akhirnya disahkan bercerai talak satu buat kali kedua pada 23 Mac lalu. – HIBGLAM