Mel B atau nama sebenarnya MelaniJanine Brown, 50, memilih gereja bersejarah The Crypt, St Paul’s Cathedral sebagai lokasi mengikat janji dengan lelaki pilihannya.
Gereja gah itu dahulu menjadi tempat pernikahan antara Puteri Diana dan Putera Charles pada 1981.
Mel B mendapat kehormatan tersebut atas gelaran Member of the Order of the British Empire (MBE) daripada Putera William tiga tahun lalu atas sumbangannya dalam menyuarakan isu kekerasan rumah tangga.
Sementara itu, pada hari perkahwinannya anggota Spice Girls itu tampil memukau dengan dua persalinan sentuhan pereka fesyen terkenal iaitu Josephine Scott bagi majlis pernikahan, manakala resepsi daripada Justin Alexander.
Tiga anaknya, Phoenix Chi Gulzar, 26, Angel Iris Murphy Brown, 18, dan Madison Brown Belafonte, 13, mengiringinya dalam acara itu.
Pada majlis berkenaan, hanya Emma Bunton yang turut dikenali sebagai Baby Spice hadir meraikan pasangan terbabit.
Begitupun, teman seperjuangan lain iaitu Victoria Beckham dan Mel C berkongsi kegembiraan dengan memuat naik ucapan dalam Instagram.
Turut memeriahkan suasana ialah selebriti popular seperti Cara Delevingne, Katherine Ryan dan Daisy Lowe.
Usai acara, menyusul pula majlis resepsi di hotel mewah Shangri-La at The Shard berlatarkan pemandangan kota London yang indah.
Percintaan Mel B dengan sepupu kepada rakan baiknya yang berusia 37 tahun itu bermula sejak 2019 dan tiga tahun kemudian lelaki berkenaan melamarnya di sebuah hotel di Cliveden House.
Sebelum ini, juri America’s Got Talent itu pernah berkahwin dengan penari, Jimmy Gulzar dan penerbit filem, Stephen Belafonte namun berakhir dengan penceraian. – HIBGLAM