Enggan kemelut menyukarkan segalanya, gitaris XPDC, Izo atau nama sebenarnya Mohd Zulkifly Nik Hussin, 61, berkata, penganjuran terbabit bakal membuktikan kredibiliti band masing-masing.
“Bila benda ini jadi macam persaingan, hanya satu kumpulan original yang akan main muzik betul-betul. Yang lain mungkin kurang kuat.
“Jadi, marilah kita buat satu persembahan besar di atas pentas sama. Siapa pun yang rasa mereka XPDC, kita tampil sekali.
Kita bawa pengadil hebat, biar mereka bagi markah. Sebenarnya sudah ada pihak beri tawaran, tapi apa yang saya dengar, sebelah sana ada yang tolak dan minta harga tak masuk akal. Nampak macam sengaja tak mahu buat,” katanya kepada HibGlam.
Nada sama turut dilontarkan pemain dram XPDC, Lola atau nama sebenar Saiful Rizla Kamaruddin, 52, yang mengakui tiada sebarang halangan malah sudah lama bersedia namun mendakwa pihak lain tidak berminat.
“Sebenarnya sudah lama ada jemputan. Kami okey saja. Tapi, kami dengar juga cerita-cerita belakang. Mereka yang tak mahu.
Tak kisahlah mana-mana kumpulan XPDC pun, tapi daripada mulut mereka sendiri kata benda ini mustahil. Ada rakaman sebagai bukti. Jujur, kami tak pernah halang untuk sepentas.
“Kami bukan nak bersaing. Cuma mahu main muzik secara sihat. Kami pun tak kata kami paling bagus. Kalau rasa hebat, ada yang lebih hebat. Muzik tak wajar dipertandingkan,” ujarnya pada sidang media Konsert XPDC Metalkestra, di sini, hari ini.
Untuk rekod, XPDC bakal menjayakan Konsert XPDC Metalkestra anjuran Maka Republic Mokhmah Records di Zepp Kuala Lumpur pada 8 November ini.
Terdahulu, pemain bes asal XPDC, Zuar, pernah memberi bayangan mengenai penganjuran Konsert Family XPDC, satu pentas impian menyatukan semula semua figura penting yang pernah menghidupkan nama besar itu.
Walaupun belum dimuktamadkan, hasrat tersebut difahamkan sudah menarik perhatian beberapa penganjur yang berminat menjadikan konsert bersejarah itu satu kenyataan.
Jika menjadi realiti, konsert mega di Kuala Lumpur itu dijangka menghimpunkan seluruh anggota asal, pemuzik jemputan dan krew produksi yang pernah menjadi nadi XPDC sejak awal 1990-an hingga kini.
XPDC ketika ini wujud dalam tiga formasi berbeza iaitu Real XPDC atau kini dikenali sebagai Real X diterajui Zan (vokalis), Omar (gitar), Adeq (bass) serta Tony Khalifa sebagai pemain dram undangan.
Formasi itu berasal daripada penubuhan asal oleh Mael selepas pengunduran beliau daripada XPDC sekitar 1998.
XPDC Kita Peng Yu pula, dibarisi Zuar (bes), Amy (dram), Jeff (gitar) dan Ary sebagai vokalis menggantikan Allahyarham Mael.
XPDC Militia pula menampilkan barisan Izo (gitar), Eddie (bes), Lola (dram), Arif (gitar) serta Ali selaku penyanyi utama. – HIBGLAM