Menurut Ernie atau nama sebenarnya Nur Ernie Shahirah Zakri, peluang untuk berinteraksi dengan peminat dalam suasana yang lebih intim dan eksklusif cukup mengujakan.
Saya amat menantikan peluang untuk bersama peminat dalam suasana yang begitu eksklusif dan peribadi.
“Ini bukan sekadar konsert, ini adalah malam yang membolehkan saya berkongsi kenangan, emosi dan suara hati saya secara langsung kepada semua tetamu yang hadir.
“Persembahan diharap dapat meninggalkan momen yang akan dikenang sampai bila-bila. Semoga yang hadir dapat merasai apa yang saya rasakan dan membawa pulang memori indah,” katanya ketika ditemui pada sidang media Konsert Nostalgia NYE di Le Meridien, Petaling Jaya.
Sementara itu, Syamel turut menyatakan keterujaannya untuk membuat persembahan penuh makna sempena malam yang bertemakan Nostalgia itu.
“Sebagai seorang penghibur, tiada yang lebih bermakna daripada mengakhiri tahun dengan mereka yang menghargai muzik saya.
“Konsert ini adalah pentas untuk saya merakamkan rasa syukur, dan saya janji akan berikan yang terbaik malam itu,” tambahnya.
Selain pasangan duet yang terkenal menerusi lagu Aku Cinta itu, para tetamu juga bakal dihiburkan dengan seleksi muzik istimewa yang akan dikendalikan oleh artis hip-hop tempatan, DJ Fuzz.
“Selalunya, saya akan lihat dahulu kelompok yang hadir. Jadi, saya akan sediakan lagu-lagu yang sesuai dengan tema Nostalgia ini,” ujarnya.
Konsert Eksklusif Tahun Baharu ini merupakan anjuran Hotel Le Meridien Petaling Jaya dan akan berlangsung di Grand Ballroom hotel berkenaan. –HIBGLAM