‘Kehadiran suami buat hidup saya, anak teratur’

Dari watak sarat air mata hingga peranan antagonis yang menjengkelkan, semuanya digalas penuh ‘rasa’ sehingga mencengkam emosi peminat.

Namun, di sebalik sinar karier gemilang, tersimpan kisah wanita dan ibu yang pernah terkapai dalam ribut hidup, sebelum hadirnya pelita baharu bernama Ungku Ismail Aziz.

Pada Januari 2023, Nad sah bergelar isteri kepada aktor itu yang bukan sekadar pasangan hidup malah menjadi figura utama dalam membentuk semula hala tuju keluarganya.

Menurut pemilik nama sebenarnya Farah Nadia Zainal Abidin, kehadiran suami tercinta bukan sahaja mengubah kehidupannya, bahkan banyak membentuk akhlak dan tingkah anak sulungnya, Fahad Ibrahim yang kini berusia 10 tahun.

“Dulu masa Fahad kecil, beza usia dia dengan adik jauh. Jadi memang saya terlalu manjakan dia. Semua saya ikutkan. Kalau ada masalah pun, saya salahkan diri sendiri. Bukan cikgu, bukan kawan, tapi saya.

Bab adab dan pendidikan saya akui tertinggal. Waktu dia masuk darjah satu, memang tiap-tiap minggu cikgu akan mengadu, tak buat kerja rumah, buku hilang. Waktu itu pula saya tengah ‘struggle’ dengan hidup dan kerjaya.

“Bila Ungku datang dalam hidup saya, semuanya mula teratur. Dia tak tunggu lama pun, terus tegur cara anak saya bercakap dengan saya. Katanya, ‘saya tak suka cara dia jawab awak.’ Lepas tu, dia terus susun jadual macam kem tentera,” katanya kepada HibGlam.

Pada awalnya, aktres berusia 35 tahun itu mengakui dia takut dengan pendekatan tegas suaminya. Bimbang anaknya tertekan, jauh hati atau membenci mereka.

Namun, ketegasan suaminya yang pernah melalui keretakan rumah tangga ibu bapa dan banyak berkongsi pengalaman untuk dijadikan iktibar membuka mata dan hatinya sebagai ibu.

“Saya risau sangat masa itu. Saya takut kehilangan anak saya sebab terlalu ‘ketat’ dengan dia. Tapi saya silap. Bila Ungku buat jadual, minta Fahad buat kerja rumah sikit-sikit, memang dia menangis. Tapi lama-kelamaan ada perubahan besar.

Dia cakap, kalau kita terus lembut, kita akan hilang anak. Dia kata, nak anak ikut kita sebab takut atau sebab sayang? Atau nanti anak tanya, kenapa mummy tak marah masa saya kecil? Itu betul-betul buat saya tersentap,” ujarnya.

Kini, perubahan Fahad bukan hanya disedari Nad, malah turut diakui pihak sekolah. Dari kedudukan kelas yang rendah, Fahad mula menunjukkan peningkatan ketara.

Kini, pelakon drama Rumah Kasih Suraya itu bersyukur melihat perubahan mendadak anak sulungnya. Daripada murid biasa-biasa, Fahad mula menunjukkan peningkatan membanggakan.

Masa darjah satu, kelas dia nombor empat ke lima. Darjah dua dia turun nombor tujuh. Tapi cikgu kata, dia makin baik. Subjek Matematik dan bahasa Melayu dapat gred A.

“Dulu cikgu kata dia kasar, sekarang dah bertanggungjawab. Saya percaya semua itu sebab ada perhatian lebih. Ketegasan tu penting sebenarnya,” luahnya.

Tidak hanya sebagai ayah tiri kepada Fahad, ibu tiga anak itu mengakui Ungku juga menjadi tiang sokongan paling kuat dengan mengajarnya untuk lebih tenang dalam mengemudi peranan sebagai isteri dan ibu.

Dulu saya cepat marah. Orang tengok saya macam sombong. Tapi orang tak tahu saya tengah stres, banyak benda nak urus.

“Saya jadi malas nak keluar. Tak suka jumpa orang. Terlalu banyak tekanan.

Suami banyak nasihat saya. Dia cakap, saya kena bertenang. Jadi wanita ada kelas dan ibu yang anak boleh banggakan. Dia kata kalau saya tak ubah diri saya, anak nak ikut siapa. Itu buat saya berfikir panjang,” katanya menutup bicara.

Dalam perkembangan lain, Nad baru sahaja selesai menjayakan telefilem berjudul Sujudku yang sudah ditayangkan pada 6 Julai lalu di TV AlHijrah. – HIBGLAM