Menerusi kenyataan rasmi, syarikat Astronomer yang diasaskan Byron berkata, pihak lembaga telah menerima peletakan jawatannya berkuat kuasa serta-merta.
“Andy Byron telah menyerahkan surat peletakan jawatannya dan lembaga pengarah telah menerimanya.
“Astronomer komited terhadap nilai dan budaya yang telah kami pegang sejak ditubuhkan.
“Kepimpinan kami sepatutnya menjadi teladan dari segi tingkah laku dan akauntabiliti, namun piawaian itu gagal dipenuhi,” katanya.
Tambah syarikat itu lagi, Pete DeJoy yang juga pengasas bersama merangkap Ketua Pegawai Produk kini menggalas tanggungjawab sebagai CEO interim sehingga pengganti rasmi dikenal pasti.
“Kesedaran terhadap syarikat kami mungkin berubah sekelip mata, namun misi kami untuk menyelesaikan masalah berkaitan data dan kecerdasan buatan tetap diteruskan,” ujarnya.
Walaupun tiada kenyataan peribadi dikeluarkan Byron setakat ini, akaun LinkedIn miliknya telah dipadam dan wajahnya juga sudah dikeluarkan dari laman rasmi syarikat.
Ramai pihak menyifatkan keputusan Byron meletak jawatan dilihat sebagai langkah terbaik untuk menyelamatkan kedudukan kewangannya, memandangkan syarikat boleh sahaja memecat beliau tanpa pampasan.
Setakat ini, Byron masih disenaraikan sebagai ahli lembaga pengarah syarikat tersebut meskipun sudah tidak lagi memegang tampuk kepimpinan utama.
Terdahulu, kejadian berlaku pada 16 Julai lalu apabila wajah Byron dan seorang wanita muncul di skrin besar ‘kiss cam’ stadium Gillette, namun mereka berdua segera menunduk dan cuba menyembunyikan wajah selepas menyedari dirakam ribuan penonton.
Situasi canggung itu menjadi bualan dunia maya apabila netizen mengenal pasti lelaki dalam video sebagai Byron manakala wanita terbabit dipercayai Ketua Pegawai Sumber Manusia syarikat sama, Kristin Cabot. – HIBGLAM.