Menurut Atikah atau nama sebenarnya Nur Atikah Mohd. Suhaimi, 34, dia pernah dilabel sombong hanya kerana menggunakan bahasa Inggeris ketika baru berpindah ke Malaysia dari Singapura.
“Masa saya mula-mula datang Malaysia, ada yang cakap saya sombong sebab sudah terbiasa bertutur dalam Bahasa Inggeris di Singapura.
Sedangkan di sana, Bahasa Inggeris digunakan secara meluas tanpa mengira latar belakang. Tak ada kaitan langsung dengan status sosial,” katanya menerusi video dalam TikTok.
Tambah pelakon TanTiAna itu, masyarakat perlu membuang persepsi bahawa penggunaan Bahasa Inggeris menggambarkan taraf hidup lebih tinggi.
“Saya pelik kenapa bila pergi tempat mewah, mesti kena cakap bahasa Inggeris. Kenapa tak boleh bercakap dalam bahasa Melayu?
Bahasa bukan lambang kasta. Yang membezakan cuma cara penyampaian, sama ada bijak atau sebaliknya,” tegasnya.
Jelas ibu satu anak itu, sudah tiba masanya rakyat Malaysia berasa bangga menggunakan bahasa ibunda, bukan tunduk pada bahasa asing.
Dah sampai masa kita berlagak dengan bahasa kita, bukan bahasa orang lain. Kita orang Melayu, kena bangga dan pertahankan bahasa sendiri.
“Kalau di Singapura, agak mencabar nak pertahan Bahasa Melayu sebab tak semua fasih. Tapi di Malaysia, peluang itu luas.
“Kalau orang itu tak faham Bahasa Melayu, barulah saya guna Bahasa Inggeris. Tapi dengan suami dan anak, saya tetap guna bahasa sendiri,” luahnya.
Rata-rata netizen menyokong pandangan pelakon itu yang disifatkan bukan sahaja berani bersuara, malah tegas memartabat Bahasa Melayu. – HIBGLAM