Ear monitor meletup, gegendang telinga kiri Hwasa rosak

Menerusi temu bual dalam sebuah rancangan realiti, idola berusia 30 tahun itu menjelaskan insiden berkenaan berlaku akibat tindakannya menaikkan bunyi ear monitor ke tahap maksimum, sehingga menyebabkan gegendang telinga kirinya rosak dan mengalami tinnitus iaitu masalah pendengaran.

“Selalunya apabila sorakan peminat sangat kuat, saya naikkan bunyi ear ke tahap paling maksimum supaya boleh dengar muzik dengan jelas.

“Ketika menjayakan persembahan di Boston, ear monitor saya benar-benar meletup. Ia menyebabkan gegendang telinga kiri saya rosak dan saya juga alami tinnitus,” katanya.

Akibat insiden tersebut, Hwasa kini berdepan masalah gangguan pendengaran pada telinga kiri.

Tidak terhenti di situ, Hwasa turut berkongsi mengalami kesakitan teruk di bahagian kaki, namun tetap meneruskan persembahan pada hari kejadian.

“Terlalu sakit dan tak boleh berdiri waktu itu, tapi saya kena teruskan juga. Saya tak sanggup hampakan peminat,” tambahnya.

Terdahulu, Hwasa memulakan jelajah solo pertamanya, Twits, dengan persembahan penuh semangat di MGM Music Hall, Boston, Amerika Syarikat.

Konsert tersebut menampilkan gabungan lagu solonya, lagu-lagu daripada kumpulannya, Mamamoo, serta nyanyian semula lagu-lagu artis yang memberi inspirasi kepadanya.

Hwasa turut dikenali menerusi dua album mini iaitu Maria (2020) dan O (2024), sebuah album single Guilty Pleasure (2021), serta beberapa album solo popular seperti Twit.

Selain Hwasa, kumpulan Mamamoo turut dianggotai  Solar, Wheein dan Moonbyul. – HIBGLAM