Drama arahan Fattah dipuji, boleh ikut jejak Syamsul, Syafiq

Rata-rata yang mengikuti kisah dunia gelap lorong belakang menerusi slot Cerekarama malam tadi mengaitkan pengarahan pemilik nama sebenar Abd. Fattah Mohd. Amin itu dengan Syamsul Yusof yang merupakan saudara sepupunya.

“Fattah Amin kan sepupu kepada Syamsul Yusof. Sedikit sebanyak dia dah berpengalaman di belakang tabir,” kata seorang netizen.

“Memang ada ‘class’, sentuhan Fattah cemerlang, boleh ikut jejak langkah Syamsul dan Syafiq sikit masa lagi,” tulis pengguna akaun media sosial lain.

“Fattah boleh pergi jauh sebagai pengarah. Jalan cerita menarik, kena pula dengan barisan pelakon yang mantap,” ujar peminatnya.

Noktah Dosa antara telefilem yang berada dalam senarai penerbitan Dari Lensa Ke Layar yang merupakan inisiatif TV3 menyemarakkan bakat kreatif tempatan dengan memberi ruang kepada beberapa pelakon untuk duduk di kerusi pengarah.

Antara pelakon lain yang turut mendapat peluang sama seperti Fattah ialah Zahiril Adzim serta Siti Saleha.

Noktah Dosa berkisar Hafiz (Nafiz Muaz), pelajar pascasiswazah dalam bidang sosiologi menjalankan penyelidikan tentang kehidupan pelacuran yang mempertemukannya dengan seorang wanita bernama Kamelia (Datin Elvina Mohamad).

Wanita yang terperangkap kancah hitam itu cuba diselamatkannya namun kehadiran ibu ayam iaitu Madam (Jasmin Hamid) menyukarkan misi Hafiz.

Sementara itu, Fattah dalam kenyataannya sebelum ini bersyukur diberi peluang menyerlahkan bakat terpendam selain mendapat naskhah sarat mesej positif.

“Telefilem pertama saya ini menyoroti mesej jelas iaitu kita tak sepatutnya cepat menilai walaupun seseorang berada dalam pekerjaan yang penuh dosa secara zahir.

“Hidayah itu milik Allah dan boleh sampai bila-bila masa, kepada sesiapa sahaja,” katanya. –HIBGLAM.