Wajahnya yang menghiasi layar televisyen sejak awal 2000-an telah menjadi pelengkap nadi industri lakonan tanah air, sementelah mutu persembahannya pula seringkali memaku emosi penonton.
Daripada membawakan karakter antagonis paling kejam hingga menjelma watak wanita malang yang mengundang simpati, sentuhan aktres jelita itu sentiasa tepat, hidup dan membekas dalam sanubari khalayak.
Bertitik tolak daripada perjalanan penuh warna itu, Fasha kini selayaknya berdiri megah antara kelompok pelakon senior disanjungi, bukan sekadar kerana ketokohan lakonan, tetapi juga adab dan nilai kemanusiaan yang tidak pernah culas dijunjung.
Pemilik nama sebenar Nur Fasha Sandha Hassan itu percaya hormat dan disiplin ialah akar tunjang untuk kekal relevan.
Dalam kesibukan dunia seni yang semakin dibanjiri generasi baharu, wanita berusia 41 tahun itu tegas mengingatkan agar bakat muda tidak sesekali lupa daratan.
“Alhamdulillah, saya masih mampu mengekalkan hubungan yang baik dengan artis-artis senior. Tanpa mereka, tiadalah kami hari ini.
“Saya lebih senang berkawan dengan artis senior. Saya belajar banyak perkara daripada mereka, berbanding duduk dengan geng seusia atau lebih muda.
“Mereka bukan sahaja teman, tetapi juga guru yang tak lokek berkongsi ilmu,” katanya kepada HibGlam.
Tegas namun bersulam keikhlasan, pelakon yang pernah mencipta fenomena menerusi drama Natasha itu turut menekankan aspek komitmen dan disiplin sebagai senjata utama mencorakkan perjalanan seni.
“Dari awal karier, saya dididik menjaga komitmen. Disiplin itu bukan untuk orang tengok, tapi untuk membentuk kita dari dalam.
“Lakonan saya dahulu mungkin ‘kayu’, tapi bila ada disiplin, kesungguhan itu akan terserlah dan orang akan percaya untuk beri kita peluang,” jelasnya.
Paling penting kata ibu tiga anak itu, menjadi pelakon bukan semata-mata mengejar popular sebaliknya, keinginan menimba ilmu dan menghormati orang terdahulu perlu menjadi falsafah utama setiap insan seni.
“Sampai sekarang, saya masih belajar dengan pelakon veteran seperti Fauziah Nawi. Saya tetap berguru walaupun sudah lama dalam industri.
“Ilmu tak pernah cukup. Kita kena tahu di mana kita berdiri dan jangan pernah rasa diri sudah hebat,” ujarnya tenang namun penuh makna.
Memandang dari sudut positif, Pelakon Wanita Terbaik (Drama) Anugerah Skrin 2017 itu berkata, kebanyakan pelakon generasi kini sudah lebih berdisiplin dan bersungguh-sungguh untuk membina nama tanpa jalan pintas.
“Kebanyakan pelakon muda sekarang memang menepati waktu, serius untuk belajar, dan tahu apa yang mereka mahu.
“Sebagai pelakon senior, kita juga kena tunjuk contoh baik. Jangan pula kita buat mereka tunggu di set. Hormat itu dua hala,” tutupnya.
Sebelum ini, tular dalam media sosial mengenai seorang penyanyi yang mendakwa menerima layanan buruk daripada seorang artis senior yang turut mempersoalkan keupayaan sebagai tenaga pengajar. – HIBGLAM