‘Bukan bersara, pendatang baharu terlalu ramai’

Hanya sesekali sahaja wajah muncul menghiasi layar televisyen, itupun sekadar mengisi ruang dalam naskhah arahan suaminya, pengarah terkenal Heykal Hanifah. Wataknya juga tidaklah begitu besar dan hanya sebagai pelengkap rasa.

Lebih dua dekad mewarnai industri sejak debut sekitar tahun 2004, Faezah bukanlah nama asing. Dengan deretan drama dan filem yang pernah mencetus fenomena, agak mustahil generasi pencinta seni untuk tidak mengenalinya.

Berpeluang bertemu empat mata dengan pemilik nama lengkap Noor Faezah Md Elai itu, penulis sempat bertanyakan tentang perkembangan terkininya dan atas alasan apa dia menghilang agak lama.

Lantang seperti yang sekian diketahui banyak orang,  Faezah tidak berselindung, malah segera mengakui lambakan pelakon baharu yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan antara sebab utama dia mula bersikap selektif dalam lakonan,

Saya bukan tidak mahu berlakon, cumanya sekarang terlalu ramai pelakon baharu. Kalau dahulu, kita senang ingat wajah dan nama pelakon, tapi kini susah nak cam sebab berlaku lambakan.

Terlalu ramai pendatang

“Jujurnya, memang terlalu ramai, datang sekejap, hilang pun cepat. Tahu-tahu sudah tiada dalam industri.

“Ramai juga yang muncul dua, tiga tahun, kemudian lesap begitu sahaja. Itu semua berpunca daripada soal kualiti sebab itu kita lihat ramai yang hilang selepas dua tiga tahun muncul,” katanya kepada HibGlam.

Memperhalusi kualiti dan mutu lakonan pendatang baharu, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-24 (FFM24) itu berpendapat ramai golongan itu hari ini hadir bukan atas dasar minat atau bakat, sebaliknya hanya mengejar glamor sementara.

“Mungkin segelintir pendatang baharu ini mahu berlakon disebabkan mahu ‘glamour’, dia ingat seronok sangat ke jadi pelakon?

“Kalau zaman awal pembabitan saya dalam industri perlu berlakon banyak drama dan beratus episod barulah orang ramai akan kenal kita melalui bakat. Zaman sekarang kau menari dah boleh jadi pelakon.

“Disebabkan itu juga nilai apresiasi tiada, itu yang mereka rasa apabila terus tidak mahu berlakon dan buat perkara lain,” luahnya.

Paling penting kata pelakon Tanda Putera itu, situasi seumpama itu sebenarnya lama-kelamaan akan mencalar dan merosakkan pertumbuhan industri tempatan.

Jika keadaan begini berterusan, industri akan jadi tidak sihat, sekali gus akan berlaku lambakan pelakon baharu yang tidak berkualiti.

“Mahu jadi pelakon bukan mudah, kena ada persiapan dan jiwa yang benar-benar minat. Bukan tayang muka sahaja,” tegasnya.