Dalam menyantuni usaha dan keberanian insan seni tersebut, kategori baharu tersebut dianggap sebagai langkah revolusi buat FFM yang selama ini lebih memberi tumpuan kepada aspek lakonan dan pengarahan konvensional.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching juga menyifatkan pengiktirafan tersebut satu keperluan mutlak bagi memberi penghormatan kepada pelakon aksi serta tenaga produksi yang berdepan risiko tinggi semata-mata untuk menyampaikan naskhah visual terbaik.
Perkembangan tersebut disambut penuh syukur pelakon aksi berpengalaman, Andy Teh, yang menyifatkan pengiktirafan sebegitu sebagai berita paling menggembirakan sepanjang lebih satu dekad penglibatan dalam dunia seni lagak ngeri.
“Anugerah ini setidaknya akan membuat pasukan pelakon lagak ngeri lebih bersemangat selain menghargai sumbangan yang mereka curahkan kepada industri kita.
Ramai tak tahu, tapi bagi menjayakan aksi kita sebenarnya bermain dengan nyawa. Walaupun keselamatan sudah dijaga, namun tetap ada risiko perlu diambil,” katanya kepada HibGlam.
![]()
SEBAGAI antara pelakon aksi dengan seni mempertahankan diri bertaraf profesional, sekurang-kurang tercalon dalam kategori Anugerah Aksi dan Lagak Ngeri Terbaik yang pertama kali diperkenalkan FFM34 tahun kali ini sebagai sudah cukup baik buatnya. – FARIZ RUSADIO
Ujar pemilik nama sebenar Andy Teh Kim Huat yang bermula sebagai ‘stuntman’, dia melihat anugerah itu bukan sekadar trofi, tetapi satu bentuk keadilan yang telah lama dinanti.
“Saya bermula dengan buat ‘stunt’, jadi bila kategori baharu ini diperkenalkan, saya seronok. Mungkin ada peluang untuk tercalon.
Sebelum ini saya pernah baca artikel mengenai pasukan ‘stunt’ di Malaysia kurang dihargai. Jadi, apabila anugerah seperti ini ada, akan memberi semangat kepada ‘stuntman’.
“Ini satu berita sangat bagus kerana di Malaysia sudah banyak filem aksi, semoga ini menjadi pembakar semangat untuk pelakon dan koreografer aksi,” ujarnya.
Pelakon Blood Brothers itu juga turut menzahirkan kegembiraan melihat kualiti aksi dalam filem tempatan yang semakin mendapat tempat dan maklum balas positif, bahkan dari luar negara.
“Kita juga sudah lihat bagaimana filem aksi diterima baik. Tahap kualiti aksi kita boleh tahan juga dengan melihat reaksi terhadap Blood Brothers yang ditayangkan di Indonesia.
“Kita dapat banyak komen positif, tak sangka filem kita begitu,” jelasnya merujuk kepada karakter Pablo lakonannya dalam filem berkenaan.
Lelaki berusia 38 tahun itu bagaimanapun tidak meletakkan harapan besar untuk menggenggam trofi sulung kategori berkenaan.
“Saya tidak letakkan harapan. Cuma bila dapat projek saya akan buat sebaik mungkin, 200 peratus.
Kalau ada rezeki untuk menang, okey. Kalau tidak, setidaknya tercalon pun sudah cukup baik. Tahun lalu saya ada filem Pagari Bulan sebagai tiket.
“Tahun ini filem lakonan saya yang bakal bertanding adalah Blood Brothers dan Pendekar Awang,” tuturnya.
Pemenang kategori aksi bakal membawa pulang trofi eksklusif dan wang tunai RM5,000 sebagai simbol pengiktirafan terhadap keberanian dan dedikasi terhadap dunia seni tanah air.
Tahun ini, FFM34 bakal berlangsung di Auditorium Seri Angkasa, Kota Media, Angkasapuri pada 8 November depan.
Acara prestij anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) itu mengetengahkan tema Karya Kreatif, Sinema Dinamik memperlihatkan keberanian pengkarya filem Malaysia dalam menongkah arus dan menjelajah sempadan visual. – HIBGLAM