Dharma, 68, berkata, bukan menolak sumbangan sebaliknya merasakan peluang pekerjaan yang boleh menjadi sumber pendapatan mampu mengubah kehidupannya menjadi lebih baik seperti sebelum ini.
“Sumbangan memang penting tetapi bukan ini yang saya perlukan sebaliknya tawaran pekerjaan.
Bagi saya, duit nombor dua tetapi paling utama ialafh kerja. Bagilah saya kerja. Bila ada kerja, automatik duit boleh datang.
“Jika ada sesiapa yang boleh bantu bagi saya kerja, saya berpengalaman menerbitkan program sebelum ini,” katanya kepada HibGlam pada majlis tayangan khas filem Felai Fx di pejabat Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), hari ini.
Tambahnya, komplikasi kesihatan dialaminya sebelum ini yang disebabkan depresi beransur pulih apabila ramai rakan-rakan industri hadir menziarahi di kediamannya di Wangsa Maju.
“Ramai juga kawan-kawan artis lama yang datang lawat saya seperti Datuk DJ Dave, Noorkumalasari dan Haiza.
Apabila mereka datang, kami berkongsi banyak kisah lama dan saling berukar cerita. Saya rasa macam ‘hidup’ balik serta terus jadi lebih ceria.
“Selepas mereka pulang, saya kembali kesepian di rumah ditambah pula anak-anak pula keluar belajar. Cuma kalau kerja, mungkin situasi berbeza,” katanya lagi.
Sementara itu, penerbit filem Felai X iaitu Richard Ung turut mengambil inisiatif membantu Dharma dengan memberikan peluang melakonkan watak mafia.
Sumbangan ini cukup untuk bawa Dharma keluar daripada kemelut yang dihadapi sekarang iaitu untuk bayar tunggakan sewa rumah dan kos sara hidup dalam tempoh tiga bulan sehingga anaknya menamatkan pengajian di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).
“Saya putuskan buat tayangan khas filem ini terlebih dulu khusus untuk membantu Dharma dan dua anaknya.
“Semoga dua anaknya tidak lagi dikecam netizen berikutan dakwaan tidak bekerja selepas ini,” jelasnya.
Selain Dharma, filem arahan Zamri Zakaria itu turut dibintangi anak lelaki Dharma iaitu Muhammad Al Syafiq. –HIBGLAM