“Abah tolong berhenti, abah ‘cut’ sikit sahaja”

Itu rayuan anak lelaki Datuk Aliff Syukri iaitu Ammar Ahyan yang sekali lagi mengundang perhatian ramai apabila rambutnya dipotong bapanya dalam siaran langsung semalam.

Dalam situasi tersebut, Ammar, 17, dilihat panik apabila Aliff menggunting rambutnya secara paksa namun tidak melawan meski wajahnya dilihat terpaksa.

Kata Aliff, dia tidak memotong terlalu banyak rambut Ammar selain hanya mahu memastikan potongan rambut anak sulungnya itu kelihatan kemas.

Tak banyak pun (potong), abah dulu kerja salun.

“Abah ini penata gaya, nak kemaskan sahaja,” katanya.

Tambahnya, penampilan Ammar juga perlu kelihatan rapi ditambah pula dia akan bertemu dengan rakan-rakannya termasuk anak usahawan sensasi, Datuk Seri Vida iaitu Cik B.

“Barulah tak serabai, pening aku tengok rambut kau. Saya nak kemaskan.

“Percayalah awak akan nampak kacak, nak jumpa Cik B dan Datuk Vida kan,” ujarnya.

Sementara dalam ruangan komen, pelbagai respons diberikan netizen termasuk mengecam tindakan Aliff yang dikatakan terlalu memaksa anaknya.

Memang Ammar jenis penyabar tetapi datuk tak boleh terlalu paksa, dia pula kini meningkat dewasa.

“Sabarlah Ammar dengan perangai bapamu, kami sayangkan awak.

“Selalu rasa kelakar tetapi kali ini tindakan datuk tak boleh diterima, kasihan Ammar, wajah dia sedih!” komen netizen.

Sebelum ini, Ammar sering menggeletek hati ramai dengan sikapnya yang lurus dan naif setiap kalu membuat siaran langsung mempromosikan produk jenama bapanya dalam TikTok.

Anak sulung kepada enam orang adik-beradik itu juga memasang cita-cita untuk menjadi seorang ahli politik satu hari nanti. –  HIBGLAM