5 skandal terhangat kini pasangan pasangan halal

Adakalanya khabar angin tersebut sekadar spekulasi, namun tidak kurang juga yang terbukti sehingga menggoncangkan institusi rumah tangga.

Tidak terkecuali, beberapa selebriti yang pernah terpalit kontroversi cinta tiga segi sehingga membawa kepada perceraian dan akhirnya memilih untuk mendirikan rumah tangga bersama orang ketiga.

HibGlam menyenaraikan lima selebriti Indonesia yang pernah mencuri perhatian ramai kerana dikaitkan dengan isu orang ketiga.

Krisdayanti, Raul Lemos

SKANDAL cinta antara diva tersohor Krisdayanti dan ahli perniagaan dari Timor Leste, Raul Lemos mula dihidu pada tahun 2009.

Lebih mengejutkan, pada waktu tersebut, pelantun lagu Menghitung Hari itu masih bergelar isteri kepada penyanyi, Anang Hermansyah.

Pada tahun yang sama juga mereka bercerai dan Krisdayanti kehilangan hak penjagaan dua anak mereka iaitu Aurel dan Azriel.

Dua tahun kemudian, penyanyi yang lebih mesra disapa KD dan Raul berkahwin dan mempunyai dua cahaya mata iaitu Amora dan Kellen.

Ahmad Dhani, Mulan Jameela

PERCERAIAN sensasi antara pasangan penyanyi Ahmad Dhani dan Maia Estianty pada 2008 dikaitkan dengan kehadiran Mulan Jameela yang sebelum ini rakan duet Maia dalam kumpulan Ratu.

Meskipun wujud dakwaan bahawa Dhani atau nama asalnya Dhani Ahmad Prasetyo dan Mulan berkahwin secara rahsia seawal 2006, mereka hanya mengesahkan pernikahan pada tahun 2009 dalam majlis tertutup.

Selepas perceraian, vokalis kumpulan Dewa 19 itu turut melarang Maia bertemu anak-anak mereka di luar rumah, menyebabkan Maia sukar meluangkan masa bersama puteranya.

Namun, pada tahun 2018, Maia kembali menemui kebahagiaan apabila berkahwin dengan usahawan terkenal, Irwan Mussry, dalam sebuah majlis di Tokyo.

Tora Sudiro, Mieke Amalia

NAMA pasangan pelakon Tora Sudiro dan Mieke Amalia mula disebut-sebut pada tahun 2004 selepas mereka digandingkan dalam sebuah sitkom popular.

Ketika itu, kedua-duanya masih terikat dalam perkahwinan bersama pasangan masing-masing.

Meskipun menerima kritikan, mereka bercerai dengan pasangan terdahulu dan memilih untuk berkahwin pada tahun 2008.

Pasangan terbabit kini masih kekal bersama dalam dunia seni dan kehidupan berumah tangga.

Nissa Sabyan, Ayus

SERING tampil dengan lagu-lagu keagamaan, siapa sangka penyanyi Nissa Sabyan pernah mempunyai hubungan sulit dengan rakan sekumpulannya, Ayus sekitar tahun 2021.

Segala-galanya terbongkar selepas bekas isteri Ayus, Ririe Fairus, tampil ke hadapan mendedahkan skandal tersebut kepada umum.

Perkahwinan pemilik nama lengkap Khoirunnisa, 26, dan Ayus akhirnya berlangsung secara senyap pada Julai 2024, namun tetap mendapat perhatian dan kritikan netizen.

Meskipun pernikahan mereka disahkan sendiri oleh Ketua Jabatan Agama di Kecamatan Pondok Gade, ramai yang masih mempertikaikannya keputusan mereka.

Deswita Maharani, Ferry Maryadi

KETIKA masih bergelar suami kepada aktres Risma Nilawati sekitar 2007, pelakon Ferry Maryadi didakwa menjalinkan hubungan sulit bersama pelakon dan pengacara, Deswita Maharani.

Skandal itu dipercayai menjadi punca keretakan rumah tangga Ferry dan Risma yang terbina sejak 2003 serta mempunyai seorang cahaya mata.

Beberapa tahun selepas bercerai, Ferry dan Deswita memilih untuk berkahwin dalam majlis ringkas pada 2011.

Kini, mereka menjalani kehidupan bahagia dan dikurniakan seorang anak lelaki. – HIBGLAM