PEMINAT meluahkan rasa kesal terhadap anggota kumpulan Blackpink, Jennie yang seolah-olah tidak menyesal dengan perbuatannya menghisap rokok elektronik sebelum ini.
Idola berusia 28 tahun itu menerusi temu bual memberitahu, dia sedar tentang kesilapannya namun terkejut dengan reaksi masyarakat di Korea yang langsung tidak boleh menerima kesalahan dilakukan.
“Apa saya boleh lakukan adalah memperbaiki diri apabila masyarakat di Korea merasakan apa saya lakukan itu adalah salah walaupun hanya isu kecil,” jelasnya.
Rentetan itu, rata-rata netizen menghentam pelantun lagu Solo itu dengan menyifatkannya sebagai sombong, memandang remeh dan tidak menjaga sensitiviti masyarakat di Korea.
“Kenyataan dikeluarkan langsung tak sensitif dan seolah-olah memandang remeh tentang perkara tersebut, dia tidak fikir berapa ramai peminat remajanya akan terpengaruh?,” soal seorang netizen.
“Jenis idola sombong sungguh respons diberikan, yang salah tetap salah waima awak anak raja sekali pun. Mungkin bagi awak kecil tetapi impaknya kepada peminat lain pula jadinya,” tegas seorang lagi netizen.
Sebelum ini, rakaman video Jennie sedang menghisap rokok elektronik atau vape di dalam kawasan tertutup menjadi perdebatan hebat dalam kalangan peminat.
Walaupun sudah meminta maaf namun ramai masih tidak berpuas hati dengannya. – HIBGLAM